Pulau Pinang jadi hub penghasilan benih serantau

 12 December 2018, GEORGETOWN- Pulau Pinang akan menjadi hub penghasilan benih serantau menjelang 2030 di Asia Tenggara.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin berkata, ia akan melibatkan semua jenis benih terbaik dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan.

Afif (dua, kiri) melawat pameran selepas merasmikan majlis menandatangani perjanjian antara USM dan Universiti Industri Bogor tadi.


Menurutnya, perancangan itu merupakan salah satu usaha untuk memenuhi aspirasi Pulau Pinang 2030 yang diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow beberapa bulan lalu.

"Perancangan ini adalah salah satu strategi dalam memenuhi aspirasi Pulau Pinang 2030 untuk menjadikan sektor pertanian bergerak seiring seiring dengan revolusi 4.0. Menjadi hub penghasilan benih di kawasan Asia Tenggara bukan sahaja dalam pertanian tetapi merangkumi semua.

"Semua benih terbaik dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan akan dihasilkan di Pulau Pinang. Buat masa ini, kejayaan kita adalah penghasilan benih tiram. Ia adalah usaha sama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan satu-satunya yang dihasilkan di kawasan serantau," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, selain usaha itu, Pulau Pinang juga mempunyai pusat penghasilan benih dan penetasan ikan di Taman Kekal Pengeluaran, Taman Agro Batu Kawan.

"Buat masa ini, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mewujudkan zon industri akuakultur di Penaga yang sebahagian besar daripada projek di atas tanah seluas 202.3 hektar itu akan melibatkan pembangunan penetasan.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat, universiti atau mana-mana badan untuk datang ke negeri ini bagi melihat potensi yang ada. Kelebihan Pulau Pinang adalah kedudukan logistiknya yang strategik," katanya.

Terdahulu Afif merasmikan persidangan dan majlis menandatangani perjanjian dalam melaksanakan sistem pemantauan persekitaran marin berintegrasi antara USM dan Universiti Industri Bogor, Indonesia di sini.

 

Sumber : Sinar Online