USM akan lakukan ujian laut berkala

2019 10 23
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) ditemani Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan (kanan) dan Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Prof Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai (kiri) melihat rumpai laut ketika mengadakan lawatan kerja di CEMACS USM, Pantai Kerachut. - NSTP/Danial Saad

 

BALIK PULAU: Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) di Universiti Sains Malaysia (USM) akan memantau kualiti air laut di semua pesisiran pantai negeri itu dan wilayah utara, bermula bulan hadapan.

Pengarah CEMACS, Prof Datuk Dr Aileen Tan, berkata pemantauan itu akan dibuat secara berkala dalam tempoh dua minggu sekali, melalui pengambilan sampel di beberapa lokasi terpilih.

“Kami akan mengambil phytoplankton serta menguji bahan kimia dan biologi melalui sampel air yang diperoleh.

“Ini akan membantu kami untuk mengetahui sekiranya air laut itu tercemar atau berbahaya kepada hidupan laut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Aileen menerima kunjungan hormat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, yang melakukan lawatan kerja ke CEMACS yang terletak di Taman Negara, Teluk Bahang, di sini.

Turut hadir, Naib Canselor USM, Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Mengulas lanjut, Dr Aileen berkata, idea untuk melakukan pemantauan berkala itu selepas melihat insiden membabitkan hasil ternakan ikan dalam sangkar mati akibat air laut yang tercemar di Teluk Bahang, Ogos lalu.

“Hasil uji kaji yang kami lakukan mendapati, kematian ikan pada Ogos lalu itu akibat taufan Lekima yang mengganggu sedimen di dalam laut dan juga masalah kekurangan oksigen,” katanya.

Ogos lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan lebih 50,000 ikan yang diternak dalam sangkar mati dipercayai akibat pencemaran air dan keracunan di Teluk Bahang.

Memetik laporan berita itu, pemilik sangkar ikan terbabit terpaksa menanggung kerugian sehingga puluhan ribu ringgit berikutan semua hasil ternakannya mati.