PUSAT KAJIAN SAMUDERA & PANTAI -- Universiti Sains Malaysia

Akuakultur tiram jadi perangsang ekonomi baharu Pulau Pinang

TELUK BAHANG, 18 Jan (Bernama) -- Industri akuakultur tiram perlu dikembangkan dengan lebih meluas kerana ia berpotensi menjadi satu lagi sumber pendapatan yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin hari ini berkata industri itu dapat menjadi alternatif untuk mendapatkan hasil laut tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kaedah penangkapan hasil di laut terbuka yang dilihat semakin tidak menentu.

“Satu lagi industri yang belum kita teroka potensinya ialah industri akuakultur tiram. Kita masih belum fokus kepada industri ini dengan cara yang lebih mendalam.

“Kaedah ini boleh diperkenalkan khususnya kepada komuniti nelayan bagi menjana pendapatan tambahan atau mungkin boleh menjadi pendapatan utama satu masa nanti berbanding bergantung kepada hasil tangkapan laut semata-mata,” katanya ketika melawat Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Menurut Dr Afif, tiram yang diternak CEMACS merupakan spesies yang berkualiti tinggi yang mampu menyaingi tiram-tiram yang diimport dan kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan CEMACS serta pihak swasta yang berminat untuk turut bersama mengembangkan industri ini.

Sementara itu, Pengarah CEMACS Prof Datuk Aileen Tan Shau Hwai berkata sebagai sebuah pusat penyelidikan hidupan marin tertua di Malaysia dan telah beroperasi selama 37 tahun, mereka ingin terus menjalankan penyelidikan yang hasilnya dapat dimanfaatkan oleh komuniti setempat.

Katanya, penyelidikan bagi pengeluaran benih tiram yang berkualiti tinggi ini merupakan salah satu inisiatif yang dijalankan khususnya untuk menaiktarafkan kehidupan komuniti nelayan menjadi komuniti yang mampu menjalankan perniagaan.

“Kejayaan CEMACS kita tidak simpan sendiri sebaliknya kita berkongsi dengan komuniti. Malah, CEMACS juga turut mengadakan sesi latihan dan bengkel untuk para penternak tiram yang berminat untuk membantu mereka menjana pendapatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata walaupun sektor akuakultur mampu menjadi penyelesaian kepada kekurangan hasil tangkapan laut namun pengusahanya diingatkan agar mengimbangi di antara usaha mengaut keuntungan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Akuakultur ada risikonya tersendiri iaitu (pengusaha) perlu mengorbankan persekitaran dan sebagainya. Namun sekiranya kita menternak sebagai contoh tiram, haiwan moluska seperti timun laut, gamat, dan sebagainya, alam sekitar tidak akan diganggu,” katanya.

 

 

Sila lihat video di bawah

Akuakultur tiram jadi perangsang ekonomi baharu Pulau Pinang

 

Sumber: Bernama

  • Hits: 1737

Centre For Marine & Coastal Studies (CEMACS),
Universiti Sains Malaysia.
Tel : 604-653 6903  |  Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.