PUSAT KAJIAN SAMUDERA & PANTAI -- Universiti Sains Malaysia

Kerajaan P.Pinang pandang serius kes sengatan obor-obor

GEORGE TOWN 30 April - Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini.

Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk membuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang , Batu Feringghi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina.

" Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor.

" Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabkan oleh pertambahan jumlah obor-obor dalam perairan negeri," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Heng Lee (PH-Berapit) yang ingin tahu apakah tindakan kerajaan negeri dalam mempertahankan aktiviti pelancongan dan juga sukan air/laut ekoran peningkatan kes sengatan obor-obor berbahaya yang semakin membimbangkan.

Mengulas lanjut, Yeoh yang juga ADUN Paya Terubong berkata terdapat banyak faktor yang mempengaruhi peningkatan obor-obor antaranya penghijrahan obor-obor dari tempat lain kerana perubahan cuaca.

" Penghijrahan ini adalah fenomena lazim bagi hidupan laut. Faktor kekurangan oksigen dalam air laut, fitoplankton, suhu dan kemasinan mempengaruhi populasi obor-obor. Selain itu kajian yang lebih terperinci juga diperlukan supaya punca utama boleh ditentukan dan seterusnya langkah-langkah pencegahan atau mitigasi dilaksanakan sewajarnya," katanya.

katanya usaha lain turut dijalankan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat antaranya kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memaklumkan kaedah menyelamatkan diri apabila disengat obor-obor serta bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meneliti cara-cara pembersihan untuk mengurangkan pembiakan opbor-obor.

 

Sumber: BERNAMA

  • Hits: 1531

Centre For Marine & Coastal Studies (CEMACS),
Universiti Sains Malaysia.
Tel : 604-653 6903  |  Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.