PUSAT KAJIAN SAMUDERA & PANTAI -- Universiti Sains Malaysia

TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH LAWAT CEMACS, TEROKA PELUANG KERJASAMA

TELUK BAHANG, 22 Julai 2019 – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Jaujan Sambakang mengadakan lawatan ke Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meneroka peluang kerjasama yang boleh dijayakan kedua-dua pihak di sini semalam.

Kunjungan berkenaan antara lain melihat dengan lebih dekat inisiatif CEMACS dalam menjalankan penyelidikan dan latihan yang tertumpu kepada biodiversiti dan pemuliharaan ekosistem laut, ekosistem pantai, ekosistem hutan pesisir, mariculture dan kajian ekologi mamalia laut.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari kampus USM di Gelugor, CEMACS menjadi pusat penyelidikan marin tertua negara yang kini berusia 41 tahun. CEMACS telah memainkan peranan yang cukup besar buat pembangunan bidang penyelidikan marin dan samudera negara.

Antara yang menjadi tumpuan perbincangan adalah dalam melihat inisiatif yang boleh dibangunkan khususnya dalam memperkasa usaha dan penyelidikan yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan membantu masyarakat setempat meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

Kunjungan beliau diiringi Pengarah CEMACS, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, Pakar Biologi Marin USM, Profesor Dr. Zulfigar Yasin dan para penyelidik yang menjalankan pelbagai kajian di CEMACS.

Teks:Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Hits: 927

Centre For Marine & Coastal Studies (CEMACS),
Universiti Sains Malaysia.
Tel : 604-653 6903  |  Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.