PUSAT KAJIAN SAMUDERA & PANTAI -- Universiti Sains Malaysia

Potensi CEMACS tarik pelancong.

4 MAR 2019 - PUSAT Kajian Samudera dan Pantai, Universiti Sains Malaysia (USM) atau lebih dikenali sebagai CEMACS berpotensi tinggi untuk diketengah sebagai antara tumpuan pelancongan di Pulau Pinang khususnya pelancongan pendidikan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, dengan prasarana yang lengkap dan kepelbagaian koleksi khazanah laut hasil penyelidikan CEMACS, ia wajar dikongsi bersama masyarakat bagi memberi kesedaran berkenaan khazanah laut yang perlu dihargai ini.

“Sememangnya Malaysia khususnya di Pulau Pinang cukup kaya dengan khazanah lautan dan pesisir pantai.

“Kekayaan ini perlu dikongsi dengan pelancong dalam mahupun luar negara terutama golongan muda supaya ia memberi impak tinggi kepada industri pelancongan tanah air,” katanya.

MUHAMMAD BAKHTIAR menggunakan mikroskop melihat hidupan marin.
KEMUDAHAN LENGKAP DAN LOKASI YANG STRATEGIK

Beliau yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, kementeriannya dan Tourism Malaysia sedia bekerjasama dengan USM dalam pembangunan pelancongan di CEMACS termasuk menaik taraf prasarana laluan masuk atau akses ke pusat berkenaan supaya menjadi tumpuan pelancong di negeri itu.

“Kemudahan di sini cukup lengkap dengan lokasinya yang strategik selain terdapatnya pelbagai koleksi pameran seperti gamat, terumbu karang, spesies lautan dan cangkerang yang cukup menarik.


“CEMACS perlu dipromosi kepada khalayak ramai terutama pelajar sekolah dan universiti supaya mereka berpeluang melihat sendiri khazanah lautan yang berharga ini,” katanya ketika melawat pusat itu.

Pada majlis sama, Pengarah CEMACS USM, Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai berkata, sememangnya masyarakat umum kurang menyedari kekayaan biodiversiti hidupan laut yang dimiliki di Malaysia terutama di Pulau Pinang dan hal ini perlu diberi perhatian serius.

“Oleh itu, menjadi hasrat USM untuk mengetengahkan CEMACS sebagai lokasi pelancongan utama di negeri ini, sekali gus menyebar luas pengetahuan berkenaan kepelbagaian hidupan laut yang perlu dipelihara bersama.

“Selain memastikan kelestarian khazanah laut terjamin melalui usaha penyelidikan dan pembangunan ekosistem marin serta pesisir yang sedang giat dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar dibawa melawat sekitar kawasan CEMACS dan galeri penyelidikan yang dilihat berpotensi untuk pembangunan industri pelancongan.

CEMACS ialah pusat kajian laut dan pantai tertua di negara ini. Pusat ini menjalankan penyelidikan dan latihan tertumpu kepada biodiversiti serta pemuliharaan ekosistem laut, ekosistem pantai, ekosistem hutan pesisir, marikultur selain kajian ekologi mamalia laut.

 

SUMBER: HARIAN METRO

  • Hits: 2478

Centre For Marine & Coastal Studies (CEMACS),
Universiti Sains Malaysia.
Tel : 604-653 6903  |  Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • Last Modified:
    Jumaat 08 November 2024, 10:06:55.